Showing posts with label Zafeera. Show all posts
Showing posts with label Zafeera. Show all posts

Monday, 11 January 2016

A WALK TO REMEMBER


Bismillahirrahmanirrahim.
Yeay!! Akhirnya Zafeera dah mula berjalan. Tanggal 29 November 2015 jadi detik bahagia, gembira sebab mummy dapat saksikan sendiri Zafeera mulakan langkah. Terima kasih dan syukur tidak terhingga pada Allah atas segala anugerah yang diberi. Untuk para ibu bapa di luar sana yang mempunyai anak HIE stage 1, mohon jangan berhenti berharap.

Ikut pengalaman saya hantar Zafeera ke terapi (fisio/ot), masalah delay tu biasa. Kita sebagai ibu ayah jangan pernah rasa putus asa untuk ransang dan bagi semangat pada anak. Kena sentiasa ingat yang masa ni lah kita nak "spend" masa dengan anak sebelum mereka meningkat dewasa, masuk sekolah berasrama, masuk universiti, berkerjaya, berdikari tanpa bantuan kita lagi.

Ada 1 kes, parent ni cerita pada saya, anak dia memang tak berjalan langsung, tak bangun dan berpaut pada perabut, dinding dan sebagainya sampai la umurnya mencecah 2 tahun. bila masuk umur 2 tahun, tiba-tiba si anak bangun dan berjalan sendiri. Saya yang dengar cerita parent tu macam "wow!!" sekejap. Nganga dibuatnya. Kemudian, barulah saya terfikir, beruntung saya sebab Zafeera hanya HIE stage 1, orang lain yang anaknya stage 2 atau 3, malah yang Cerebral Palsy(CP), berat lagi ujian mereka berbanding saya.

Jadi, kesimpulannya, jangan pernah putus asa. Doa ibu ayah tu mustajab. Mintak Allah bagi kita kekuatan untuk menempuh jerih payah membesarkan anak-anak syurga ini. Dugaan dan pandangan skeptikal manusia sekeliling memang kita tak dapat nak elak, tapi kata-kata negatif mereka, jadikan ia sebagai 1 cabaran untuk kita maju kedepan. Insya Allah, Allah sentiasa bersama mereka yang sabar.


  
Sekarang si Zafeera belum jalan laju lagi, jatuh bangun jatuh bangun lagi. Tapi semakin hari semakin baik. Syukur sangat. Jangan pernah "under estimate" anak kita. Untuk anak2 HIE, kita kena bantu mereka explore dunia sekeliling mereka. Kurangkan sikap overprotective, kena bantu anak untuk bina keyakinan dalam diri dia. Insya Allah, Allah sentiasa ada untuk bantu kita.

Saya pun berazam untuk terus menulis mengenai perkembangan Zafeera, tak kira lah walau jarak antara setiap post tu makan sebulan, haha. Bukan apa, saya mula terima pm di messenger bertanya mengenai Zafeera, bagaimana saya membesarkan anak HIE, bagaimana saya bahagi masa antara kerjaya dan anak, apa cabaran saya membesarkan Zafeera. Rata-rata mereka semua mempunyai anak HIE. Bila saya tanya di mana dapat info mengenai saya? Mereka jawab, saya dapat dari blog puan. Oh, dalam hati saya cakap "ada rupanya orang yang baca blog aku selain cikgu Anys, hehe." Power of blogging. 

Di Malaysia susah nak cari info berkenaan HIE, saya pun masih mencari group atau page HIE supaya dapat belajar dan berkongsi ilmu pengalaman dengan mereka yang senasib. Saya tau masih ramai di luar sana yang mencari. Anda boleh sentiasa hubungi saya jika ada apa-apa pertanyaan mengenai Zafeera. Saya gembira dapat berkongsi pengalaman saya membesarkan Zafeera. Apa sahaja yang dapat membantu tuan puan, saya rasa puas hati. 



Khadijah binti Maskam
Pengurus Online
Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR)
Tel : 011-1998 6449 (sms/WhatsApp)
Email : khadijahmaskam@gmail.com 

Thursday, 19 November 2015

KEMBALI BERSIARAN!!

Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah, akhirnya berjaya menggagahkan diri untuk update blog, hakhakhak. Last update adalah bulan May 2015, sekarang dah November 2015. Amek kaw, dekat setengah tahun tu bersawang. Mood tak mari, maka emosi negatif menguasai diri, haha.

Cerita terkini adalah Zafeera dah duduk sekali dengan Mummy since Ogos 2015. Maka itu pun salah satu faktor jugak payah nak update (alasannya) haha. Baru ku kenal erti sebenar bergelar ibu bekerjaya. Duduk opis busy dengan kerja, ragam manusia, cukup masa tepat pukul 6.00pm, automatik thumb print on time sekarang. Tiada lagi istilah "overtime". Lari pecut jemput Zafeera, balik rumah spend masa pengurusan diri & anak.

Dulu mungkin aku ada masalah kerinduan pada anak tu, maka terjejas kesihatan fizikal & mental, klinik panel pon bosan tengok muka aku je yang balik-balik checked in kat situ. Sekarang ni, boleh nampak perbezaan, jarang sakit, happy selalu, hati bahagia, sebab Zafeera si jantung hati dah ada kat sebelah, hihi.

Dan baru aku dapat alami pengalaman sebenar membesarkan anak dengan tangan sendiri, macam mana berjaga malam kalau anak sakit, macam mana nak layan kerenah anak yang makin membesar, kehulu kehilir attend appointment doctor dan terapi saban minggu, abiskan waktu hujung minggu bersama, tidur bersama, mengigau bersama, haha. Mencabar tu beb.

Namun, Alhamdulillah, itu lah nikmat menjadi seorang ibu yang aku dok tunggu-tunggu dari dulu. Banyak lagi yang akan kami lalui bersama. Moga Allah permudahkan jalan dan beri aku kekuatan dan kesabaran yang tinggi dalam mendidik Zafeera. Cukuplah seorang, kerana sesungguhnya aku mungkin tak mampu nak jadi ibu yang terbaik kalau ramai anak, hoho. Macam ada hidden message di situ, kihkihkih.


Nanti aku cerita lagi perkembangan kami. Zafeera sekarang dah 1 tahun 6 bulan, tapi masih belum berjalan. Masih berusaha dengan fisioterapi dan ot, disamping doa moga Allah permudahkan segalanya. Last appointment dengan doc, Zafeera ok, cuma masalah gross motor disebabkan kesan sampingan dari failed vacuum masa lahir aritu. Senang cakap, masalah saraf akibat dari proses vacuum. Yang lain ok. Nanti kita sambung cerita lagi. Bye!!!!!!!

Officially jadi co-pilot & PA mummy,hihi
  

Monday, 9 March 2015

ANAK MUMMY MAKIN MEMBESAR


Bismillahirrahmanirrahim.
Saat Mummy tulis entri ni, Mummy sangat bersyukur walau Mummy hanya dapat bersama Zafeera 2 hari setiap minggu, Mummy masih diberi peluang oleh Allah untuk melihat dan menyaksikan setiap perkembangan kamu. Semakin hari, saban waktu, umur kamu diam-diam bakal mencecah 1 tahun bulan hadapan. Moga Mummy terus diberi peluang untuk bersama kamu hingga akhir nyawa Mummy.

Akhirnya Zafeera mampu duduk tanpa bantuan 2 hari setelah bertemu doktor di Klinik Paediatrik HTJ. Alhamdulillah, Zafeera terus merangkak dan paling Mummy terharu apabila Zafeera terus berusaha dan berjaya untuk berdiri. Mummy gembira melihat semangat dan kesungguhan kamu untuk terus berusaha walau masih ada takut-takut, namun Mummy dan Wan sentiasa menyokong usaha kamu untuk terus maju ke depan.


Walau apa jua rintangan yang menghalang, akan Mummy usahakan untuk sentiasa berada di sisi kamu untuk sama-sama menempuh segala dugaan dan rintangan di hadapan. Semoga perjalanan hidup kita sentiasa di bawah lindungan Allah dan semoga kita sentiasa ingat padaNya. Syukur atas nikmat yang Allah telah beri pada kita sebelum ini dan kamu adalah nikmat dan rezeki dari Allah yang ternyata paling indah dalam hidup Mummy. 


Semoga Zafeera akan terus kuat dan tabah untuk menempuhi hari esok. Semoga kita dikurniakan kejayaan dan kebahagiaan dunia akhirat. Mummy mahu Zafeera membesar menjadi anak yang solehah yang membahagiakan hati Mummy dan berjasa pada masyarakat serta agama Islam.

Buat ibu-ibu di luar sana yang mempunyai anak yang istimewa, sesungguhnya anda adalah insan yang terpilih oleh Allah  untuk memikul tanggungjawab yang besar. Sesungguhnya anda bertuah kerana memiliki anak dari syurga. Jangan pernah sesekali putus semangat kerana sentiasa ada harapan untuk anda. Terus yakin dan percaya pada kuasa Allah. 
Insyaallah..


Khadijah binti Maskam
Pengurus Online
Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR)
Tel : 017-3441486 (sms/WhatsApp)
Email : khadijahmaskam@gmail.com



Wednesday, 4 March 2015

Hypoxic Ischemic Encephalopathy (HIE) - Part 2




Sumber Gambar : Google

Bismillahirrahmanirrahim.
Kita sambung cerita semalam, berkenaan Hypoxic Ischemic Encephalopathy (HIE). HIE adalah masalah kerosakan saraf pada bayi akibat oksigen tidak cukup. Menurut birthinjury.org, HIE berlaku pada setiap 20 daripada 1000 kelahiran dan HIE juga boleh menyebabkan kematian bergantung pada HIE tahap berapa.

APA SIMPTOM ATAU TANDA HIE?
1. Air ketuban bercampur najis (meconium-stained amniotic fluid)
2. Low heart rate
3. Poor muscle tone
4. Pernafasan yang lemah/tiada langsung
5. Warna kulit pucat/kebiruan

APA UJIAN UNTUK PENGESAHAN HIE?
1. CT Scan
2. MRI
3. Echocardiography
4. Ultrasound
5. Electrocardiogram (EKG)
6. Electroencephalogram (EEG)
Biasanya pesakit akan diuji sama ada mereka berada ditahap I (mild), II (moderate) atau III (severe). 

KESAN-KESAN HIE
1. Lewat dari segi perkembangan termasuk:
- perkembangan motor skills
- perkembangan neuro/otak
2. Masalah kognitif
3. Epilepsy (sawan)
Tahap keterukan HIE sebenarnya tidak dapat ditentukan betul-betul sehingga bayi berumur 3 ke 4 tahun.

PUNCA-PUNCA HIE
Punca-puna HIE terbahagi kepada 3 bahagian iaitu sebelum (antepartum), semasa (intrapartum) dan selepas (postpartum) kelahiran.

Antepartum:
Punca semasa proses kehamilan.
1. Ibu mengidap maternal diabetes
2. Mempunyai masalah kitaran darah kepada placenta
3. Preeclampsia (keadaan dimana tiba-tiba blood pressure meningkat)
4. Lung malformation
5. Severe fetal anemia
6. Congenital infections of the fetus
7. Cardiac disease

Intrapartum:
Punca semasa proses kelahiran berlaku.
1. Pendarahan teruk pada placenta
2. Tekanan darah ibu yang sangat rendah
3. Terbelit tali pusat
4. Proses kelahiran yang terlalu panjang
5. Kedudukan bayi yang tidak normal (songsang, senget)
6. Rupture of placenta/uterus

Postpartum
Punca selepas proses kelahiran.
1. Severe pulmonary/cardiac disease
2. Jangkitan, sepsis/meningitis
3. Severe prematurity (24-26 minggu)
4. Tekanan darah bayi yang terlalu rendah
5. Trauma pada bahagian otak atau tengkorak (Zafeera di sini puncanya)

Demikian serba sedikit mengenai HIE yang Jaja dapat dari birthinjury.org. Maaf sebab ada sesetengah term yang Jaja tak dapat nak terjemahkan, nanti kalau Jaja terjemahkan jadi lain pulak maksudnya. Nanti korang google sendiri ya. 

Macam Zafeera, dia dapat HIE selepas proses kelahiran iaitu postpartum dimana dia mengalami trauma pada otak dan tengkorak kesan dari doktor gagal vacuum sebanyak tiga kali. Cuba google pasal Caput Succedaneum. Ianya adalah salah satu kecederaan akibat trauma ketika kelahiran disebabkan oleh poor handling of medical instrument. Zafeera went through it.

Dan buat pengetahuan semua, bayi yang mengalami birth trauma mempunyai risiko untuk mengidap Cerebral Parsy dan mempunyai masalah dalam perkembangannya dan juga dalam proses pembelajaran mereka. Kita hanya mampu berdoa agar Allah beri segala kemudahan dalam setiap perjalanan anak-anak yang jadi mangsa akibat kecuaian hospital.

Insyaallah, nanti Jaja akan sambung lagi kisah ni jika ada kelapangan. 

Khadijah binti Maskam
Pengurus Online
Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR)
Tel : 017-3441486 (sms/WhatsApp)
Email : khadijahmaskam@gmail.com




Tuesday, 3 March 2015

Hypoxic Ischemic Encephalopathy (HIE) - Part 1

Bismillahirrahmanirrahim.
Kenapa Jaja menulis tentang HIE? Buat pengetahuan semua, rentetan dari TCA di Paediatrik Hospial Tuanku Ja'afar Seremban pada 16 Februari yang lalu, doktor telah merujuk Zafeera kepada Jabatan Fisioterapi (PT) dan Pemulihan Cara Kerja/Occupational Therapy (OT) untuk bantu Zafeera kejar perkembangan beliau yang sepatutnya.

Seperti apa yang Jaja cerita pada entri sebelumnya, Jaja terima dengan hati terbuka apa jua yang doktor cakap dan beritahu pada Jaja dan kami sekeluarga yakin Zafeera akan membesar dengan sihat dan baik dan seterusnya menjadi anak yang solehah. Tarikh 27 Februari 2015 adalah TCA temujanji dengan PT dan OT.

Mengikut pemerhatian awal oleh PT, Zafeera perlukan banyak rangsangan untuk menguatkan lutut supaya Zafeera mampu bangun dari posisi merangkak ke duduk dan seterusnya melutut untuk bangun dengan sokongan. Zafeera perlu berlatih "kneeling". Masih perlukan masa.

Pemerhatian oleh OT pula, Zafeera bukan tahap "teruk". Entah lah, orang hospital ni selalu main agak-agak je. Sebab tu masa nak buat keputusan dalam labour room pun main agak-agak je, sampai salah vacuum anak orang sampai sebabkan ICB. Memang la, diorang pun diagnose je, diorang bukan tuhan yang Maha Tahu kan. Jadi kita ni dengar je apa diagnosis dia. Masa ni la baru Jaja perasan dalam referral letter dari Paediatrik ada nyatakan Zafeera HIE Stage 1. 

Kemudian balik ke Nilai, banyak Jaja google pasal HIE. Nak tahu juga apa maksud HIE, apa penyebabnya, apa kesannya dan apa yang boleh kita bantu untuk anak yang ada HIE Stage 1. Jaja taknak buat entri panjang-panjang, nanti ada yang bosan nak baca. Nanti Jaja sambung Part 2. 

Sekarang ni, kalau ada sesiapa yang terbaca entri ni dan ada kenal dengan sesiapa yang senasib dengan Jaja, ada anak yang HIE tak kira lah Stage 1, 2 atau 3, boleh tolong recommend sebab Jaja nak join komuniti ibu-ibu yang senasib sebab Jaja nak belajar dengan ibu-ibu kat luar sana macam mana nak bantu anak-anak HIE. Terima kasih.


Khadijah binti Maskam
Pengurus Online
Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR)
Tel : 017-3441486 (sms/WhatsApp)
Email : khadijahmaskam@gmail.com