Showing posts with label Tip Berniaga Offline. Show all posts
Showing posts with label Tip Berniaga Offline. Show all posts

Friday, 3 October 2014

TIPS BERNIAGA LAGI


Bismillahirrahmanirrahim.
Sempena hari Jumaat yang indah, marilah kita sama-sama muhasabah dan mempertingkatkan lagi amalan. Walau apa jua krisis dan cabaran melanda, senyumlah wahai sahabat, sebagai tanda kita yakin bahawa Allah sentiasa ada untuk kita da juga sebagai terapi untuk sentiasa positif.

Saya sebagai seorang pelanggan hanya akan berkunjung semula ke kedai yang memberikan perkhidmatan yang bagus dari pelbagai aspek. Antaranya adalah air muka si pengusaha kedai. Kalau si pengusaha kedai bermuka masam, jawab soalan endah tak endah dan tidak memberikan kerjasama kepada pelanggan, siapa yang mahu datang semula untuk mendapatkan perkhidmatan anda. Sebab tu senyum tu penting, menambahkan manis di muka bukan rugi pun, lagi menarik minat pelanggan.

Semalam saya berkunjung ke sebuah kedai telefon. Saya bertanya tentang model telefon yang paling asas dan murah sesuai untuk golongan warga emas. Kemudian, pekerja kedai telefon hanya menganggukkan kepala lalu menuding jarinya ke salah satu kotak telefon. "Macam itu sahaja? Awak takde suara ke?" detik hati saya. Macam takde respon je..saya terus berlalu pergi. Tak rugi kalau tak beli dari orang yang tak bersungguh-sungguh untuk berniaga. Itu prinsip saya.

Lagi satu pengalaman ketika berkunjung ke pasar malam. Saya mahu membeli rojak ayam. Tauke rojak ayam tu, Allah...mulut da macam mangkuk terbalik! Mungkin ada masalah peribadi yang saya tidak tahu tapi sebagai orang yang berniaga, masalah peribadi tidak boleh dicampur adukkan dengan kerja. Senyum itu tidak susah mana. Tidak perlukan wang pun. Rajin-rajinlah senyum, bahagia dunia akhirat.

Sekian tip untuk senyum dari saya untuk hari ini. Lain kali kita sambung lagi. Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha. Semoga selamat pulanng ke kampung. Assalamualaikum.


Wednesday, 1 October 2014

PENGALAMAN BERNIAGA PASAR MALAM

Bismillahirrahmanirrahim.
Akhirnya setelah beberapa hari saya tidak mengemaskini blog, akhirnya hari ini saya berjaya menggagahkan diri untuk mencoret sesuatu di Jurnal Online saya ini. Suatu masa dulu, emak saya pernah menjalankan perniagaan makanan panas di Pasar Malam di kampung saya. Setiap hari Jumaat, kami akan berniaga makanan seperti Mee Kari, Nasi Ayam, Soto, Laksa, air berperisa dan juga minuman panas. Lokasinya adalah tapak pasar malam yang terletak di Hentian Bas Kampung Simpang Pelangai.

Perniagaan kami ini boleh dianggap sebagai "family bussiness". Pada awalnya arwah abah yang mencadangkan supaya kami berniaga di situ hanya bersempena perasmian hentian bas tersebut tetapi memandangkan sambutan yang diterima agak meriah, maka emak dan arwah abah membuat keputusan untuk terus berniaga pada setiap hari Jumaat di pasar malam tersebut.

Pengalaman berniaga makanan di pasar malam banyak meninggalkan kenangan pada kami. Jatuh bangun dalam dunia perniagaan ditempuh dan akhirnya pada tahun 1996 arwah abah dan emak mengambil keputusan untuk berhenti berniaga akibat kemerosotan ekonomi negara pada waktu itu. Sejak itu, arwah abah terus dengan kerjayanya sebagai guru manakala emak menjadi surirumah tangga sepenuh masa cuma kadang-kadang ada menerima tempahan makanan.

Semangat mahu berniaga itu masih membara dalam diri saya, tetapi semangat sahaja tidak cukup. Untuk berniaga secara offline kita perlu mempersiapkan diri dengan beberapa perkara iaitu :

1) Modal (perkara paling penting)
- Tanpa modal, bagaimana kita mahu beli barang keperluan asas? Barang-barang mentah? Kos pekerja?

2) Supplier/Pembekal
- Perlu bijak memilih pembekal. Pembekal haruslah yang dapat membekalkan bahan yang berkualiti di samping harga yang berpatutan. Tidak semestinya barang yang berkualiti itu mahal. Cuba cari beberapa pembekal dan bandingkan harga vs. kualiti yang ditawarkan.

3) Tapak
- Tapak atau lokasi berniaga juga penting ini kerana tapak yang tidak strategik akan menyukarkan pelanggan untuk "spot" perniagaan anda. Pilih lokasi yang sesuai dan mudah untuk pengunjung datang supaya mudah untuk pelanggan datang ke kedai anda semula. Selain itu, kemudahan dan keselesaan pelanggan juga perlu diberi keutamaan supaya pelanggan tidak serik untuk berkunjung ke premis anda semula.

4) Wang pusingan
- Ini juga amat penting lebih-lebih lagi untuk beberapa bulan pertama berniaga. Ini kerana, pada bulan-bulan pertama, di saat teknik pemasaran anda memberikan hasil, pendapatan anda tidak selalunya terus menerus kencang. Di peringkat permulaan kebiasaannya perniagaan adalah di peringkat pengenalan, iaitu pelanggan baru berjinak-jinak mencuba produk dan servis anda, maka pendapatan bersih anda mungkin tidak mencapai target yang anda tetapkan. Pada masa ini lah wang pusingan amat membantu anda untuk meneruskan perniagaan untuk bulan-bulan seterusnya.

5) Jangan berangan mahu jadi bos
- Pada peringkat permulaan perniagaan, janganlah anda mudah melabel diri sebagai bos walaupun hakikatnya memang anda seorang bos,haha. Sama-samalah berganding bahu turun padang dengan para pekerja (kalau ada upah orang) untuk majukan bisnes anda. Ini supaya anda tahu keadaan hal ehwal bisnes anda dari A-Z. Dengan cara ini, adalah mudah bagi anda untuk mengesan setiap kelemahan sama ada kecil atau besar di dalam bisnes anda dan seterusnya anda dapat menyelesaikan setiap masalah yang timbul pada peringkat awal.

6) Hubungan dengan Allah
- Ini adalah yang paling penting dan yang paling perlu diberi keutamaan. Sebagai seorang peniaga, kita perlu menjaga perhubungan dengan Sang Pencipta kerana rezeki yang datang dan bakal datang hanya akan kita peroleh dengan izinNya. Bagaimana kita mahu maju sedangkan kita leka mengejar harta duniawi. Ingat satu perkara, "Kejarlah Akhirat, Maka Dunia Akan Mengejarmu". Rezeki datang dari Allah, jadi kita tidak patut jadi sombong pada Allah.

Sekian, pengalaman dan tip berniaga yang boleh saya kongsikan. Ada banyak lagi tip-tip yang perlu ada pada peniaga. Saya akan kongsikan di entri lain. Jangan lupa melawat ke gedung makanan saya dan terus buat tempahan di sini. Assalamualaikum.