Tuesday 23 December 2014

CABARAN EKONOMI 2015, BERSEDIAKAH ANDA

Bismillahirrahmanirrahim.

Merenung ke luar jendela, cewah. Sekarang musim hujan, sayunya hati teringat Zafeera di kampung. Sayu lagi hati bila mengenangkan masa depan. Haha, bukan mengeluh dan tiada niat untuk merungut. Apapun jua halangan pasti ku tempuhi dengan penuh semangat.


Musim musim hujan ni digalakkan kita untuk banyakkan aktiviti di rumah. Elak untuk terlalu keluar kerana dikhuatiri demam. Tapi bagi kaum lelaki mahupun perempuan yang memikul tugas mencari nafkah, mampukah anda lebihkan masa di rumah dan had kan masa di luar? Siapa pula yang mahu cari pendapatan untuk keluarga? Hehe...

Cabaran untuk tahun 2015 kian terasa kerana hanya tinggal kurang 2 minggu lagi sebelum kita memasuki tahun 2015. Antara cabarannya adalah GST ataupun nama penuhnya Goods & Services Tax. Seperti yang pihak kerajaan war-war kan di media massa, bukan semua barang dan perkhidmatan akan dikenakan GST.

Persoalannya, mampukah barang-barang serta perkhidmatan yang dikecualikan GST ini mengekalkan harga yang sama untuk bulan hadapan? 2 bulan lagi? 3 bulan lagi? Kami rakyat marhaen merayu pada pucuk pimpinan agar bersikap relevan pada kami. Gaji kami di takuk lama untuk bertahun lamanya, jika ada kenaikan pun tidak setara penjawat awam barangkali. Kami kerja lebih masa, lebih 12 jam untuk pastikan perut anak-anak kami terisi. Dalam pada waktu itu, harga tepung dan gula sudah berapa kali meningkat akibat kekurangan subsidi katanya.

Walaupun pahit, tetap kami telan jua kerana apalah sangat suara kami ini. Mungkin pak-pak menteri tidak melalui kesusahan kami mengisi petrol ke tangki motor kereta setiap hari, membayar tol ke tempat kerja kerana pak-pak menteri semua ada elaun dan kad petrol masing-masing. Setiap langkah kaki kami, nilai RM mengalir keluar sederas air banjir di pantai timur kini.

Tiada lagi nilai 50sen di dalam dompet itu. Jangan kata 50sen, RM50 juga hanya mampu dipegang sehari, untung kalau cukup sehari. Susu anak 1 tin bersamaan 800gm sahaja sudah RM42.90 dan hanya bertahan untuk satu minggu. Masih ada baki RM7.10. Itulah duit makan, duit petrol, duit sakit pening dan lain-lain lagi.

Pandai pak-pak menteri cakap untuk berjimat, kami memang sudah lama berjimat, kurangkan dan lupuskan segala perbelanjaan yang kurang perlu, duit hiburan bersama keluarga kami kurangkan, banyakkan aktiviti di rumah, makan ulam-ulam untuk jaga kesihatan hatta sardin yang dulunya makanan mampu milik pun telah diklasifikasi sebagai makanan ekspress yang mahal, dan kami potong senarai sardin dalam senarai barang dapur kami. Kami ganti sumber protein kami dengan pergi memancing di hujung minggu.

Tidak cukup lagi, pergi memancing di tasik-tasik pinggiran kota yang mana ikannya berpuluh ribu ekor di dalam pun kena saman. Hai la nasib....Andai luahan hati ini mampu menusuk sanubari sang pemimpin, alangkah bahagianya aku. Kami bermatian menyahut seruan kamu untuk berjimat dan mencari peluang untuk menambah pendapatan sampingan.

Ini suara kami yang bekerja atau ada pendapatan bulanan. Bayangkan bagi mereka yang kerja kampung, menoreh getah, musim-musim hujan begini bagaimana mahu keluar menoreh kalau batang getah basah? Ada yang masih gigih, batang getah di lap dengan kain, kemudian baru ditoreh. Berhujan dalam hening subuh tatkala jam pukul 3 pagi, 2 pagi.  

Dimana pak-pak menteri ketika itu? Enak dibuai mimpi diselimuti comforter tebal, hangat suasana, indah belaka mimpi yang datang. Jauhnya perbezaan kasta itu kan? Kami bukan merungut, kami redha dengan ketentuan dan perancangan Allah, cuma kami mohon tolong jangan buat sesuatu tanpa fikir masih ada insan yang kurang bernasib baik dari anda.

Doa kami, moga kami terus kuat melangkah ke hadapan walau apa jua cabaran mendatang kerana kami yakin dan pasti dengan janji Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa ada dengan orang-orang yang sabar. Rezeki kami di tangan Allah, bukan di tangan pemimpin yang alpa. Semoga Allah sentiasa melindungi insan-insan yang gigih berjuang demi dunia dan akhirat. InsyaAllah.

Sekian dulu untuk kali ini. Buat sahabat-sahabat di kawasan banjir, semoga tabah dan cekal mengharungi ujian Allah dan jagalah keselamatan diri dan keluarga. Moga ada sinar dan pelangi menanti di hadapan. Bagi yang mahu belajar dan jadi sebahagian warga ABDR boleh hubungi saya untuk keterangan lanjut. Assalamualaikum.


Khadijah binti Maskam
Pengurus Online
Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR)
Tel : 010-5398798 (sms/WhatsApp)
Email : khadijahmaskam@gmail.com
Kedai Online : KOLEKSI FESYEN JAJA




Monday 22 December 2014

2015 : KURANG DARI 2 MINGGU

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, dengan izinNya, blog ini berjaya dikemaskini, hahaha. Bulan Disember menyaksikan bulan paling "tough" sepanjang tahun akibat wabak demam, selesema dan batuk yang melanda Jaja dua beranak. Mak sakit "momantai", yang pengsan bila anak dara comel di kampung demam, memang tak tidur malam dibuatnya.


Gejala demam malam Zafeera berlarutan hampir 2 minggu. Tiga kali juga Jaja dan mak berulang ke klinik untuk dapatkan nasihat pembantu perubatan dan juga doktor. Risaunya siang dan malam, memandangkan Zafeera masih kecil dan bawah 2 tahun, apa sahaja ubat yang boleh dipreskripsikan. Bila pihak klinik tanya umur dan berat, lama mereka fikir untuk tulis ubat yang sesuai. Kesian Zafeera, selesema dan batuk yang paling tidak menyelesakan. Jaja usaha untuk pump keluar hingus dia. Susah dia nak tidur malam sebab "clogging". Jaja usaha untuk tidurkan Zafeera dalam posisi meniarap dan sapu vicks di ada dan belakang.


Pada awalnya klinik memang hanya bekalkan paracetamol syrup dan salbutamol tetapi bila demam berlarutan akhirnya MA terpaksa bagi ampicilin sebagai antibiotik. Hanya doa dan tawakal mampu mummy iringi dengan usaha mummy untuk kebahkan demam Zafeera. Kesian dekat wan jugak sebab turut sama tak tidur malam jaga Zafeera. Bila malam tiba, suhu mula meningkat, mummy dan wan usaha untuk lap satu badan Zafeera dengan tuala basah. Kesian bila baby demam panas, alangkan kita yang dewasa pun tak tahan kalau demam, inikan baby.

Asalnya demam Zafeera hanya 3 hari, tapi selang 2 hari, demam datang semula sehingga berlarutan hampir 2 minggu. Bulan Disember sahaja, Mummy ambil 5 hari cuti kecemasan. Belum campur "Medical Leave" sebab mummy pun demam sampai suspek denggi. Allah uji mummy dengan hebat sekali. Mummy sentiasa doa moga Zafeera cepat sembuh dan biar Mummy yang jadi gantinya. 

Alhamdulillah, Zafeera telah pulih seperti sedia kala. Terima kasih buat teman-teman yang sentiasa mendoakan kesejahteraan Zafeera. Buat wan, terima kasih yang tidak terhingga kerana berkorban segalanya untuk cucunda Zafeera tersayang.

Sepanjang bulan Disember menyaksikan kemerosotan aktiviti ber"blog" dan FB juga tidak sempat mahu tulis apa-apa. Hanya mampu jadi "silent reader" dan "like" sahaja post rakan-rakan. Segala fokus telah terganggu dan momentum jatuh merundum. Dalam kepala terlalu banyak yang difikirkan. Balik dari pejabat, tengok jam sudah melepasi pukul 10 malam. Sampai bila Ya Allah...sampai bila harus berjauhan dari anak...sampai bila Ya Allah? Mungkin ini adalah kifarah untukku dan aku belajar untuk terus redha dan kuatkan kaki untuk terus melangkah ke hadapan demi mencipta cerita indah hari esok.

Maaf buat sahabat-sahabat yang tertanya-tanya dan tercari-cari kemana hilangnya diri ini. Sesungguhnya, diri ini baru sembuh dari ujian Allah yang Maha Hebat. InsyaAllah, teruskan titipkan doa buat diri ini agar sentiasa dan terus kuat berjuang demi kepentingan dunia dan akhirat. Sekian untuk kali ini, Assalamualaikum.

Khadijah binti Maskam
Pengurus Online
Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR)
Tel : 010-5398798 (sms/WhatsApp)
Email : khadijahmaskam@gmail.com
Kedai Online : KOLEKSI FESYEN JAJA

Thursday 18 December 2014

PERNIAGAAN OFFLINE VS ONLINE

Bismillahirrahmanirrahim.
Dahulu kita hanya tahu perniagaan hanya secara fizikal. Perlukan modal dan tapak. Ada juga perniagaan yang tidak memerlukan anda membina struktur khas atau kedai, cuma perlu angkat barang kesana kemari. Ketuk pintu rumah orang, jalan dari satu rumah ke satu rumah, itu kita namakan pula jualan langsung.

Perniagaan online dan offline ini kedua-duanya mempunyai pro dan kontra yang tersendiri. Perniagaan offline memerlukan banyak komitmen dari anda dari penyediaan modal, pengurusan stok, penghantaran, urusan pembayaran dan khidmat pelanggan sekiranya terdapat aduan mengenai produk.

Berbeza dengan perniagaan online. Perniagaan online ada beberapa bahagian. Jika anda adalah pembekal, anda masih perlu modal dan komitmen anda sama seperti peniaga offline. Jika anda seorang agen dropship pula, anda tidak perlukan modal untuk beli stok, modal anda hanya dari peringkat marketing, talian internet dan telefon sahaja, yang selebihnya ankan diuruskan oleh pembekal anda. Masih memerlukan modal dan bukan semata-mata percuma. Setelah barang atau produk telah berjaya dibeli oleh pelanggan, kita perlu bersedia menerima sebarang komen atau "feedback" dari pelanggan mengenai produk yang mereka beli. Jika nereka berpuas hati maka ianya tidak menjadi sebarang masalah, tetapi jika terdapat sebarang isu mengenai produk, maka anda seharusnya bersedia untuk memenuhi keperluan dan kriteria kehendak pelanggan. 

Bila tiba ke peringkat ini, kemahiran khidmat pelanggan amat diperlukan kerana di sini titik bermulanya kepercayaan pelanggan terhadap produk dan bisnes anda. Jika mereka tidak berpuas hati dengan cara anda menangani masalah, sudah tentu mereka tidak akn berurusan jual beli dengan anda lagi.Kemahiran khidmat pelanggan amat penting dalam dunia perniagaan online mahupun offline. Tanpa cara yang betul anda mungkin kehilangan pelanggan di masa hadapan.

Tidak banyak beza antara online dan offline. Keduanya lebih kurang sahaja. Cuma kelebihan perniagaan online adalah kerana ianya fleksibel dari segi masa dan tempat kerana perniagaan seperti ini boleh dijalankan di mana-mana sahaja yang ada kemudahan internet dan bila-bila masa tidak kira pagi, petang, malam mahupun tengah malam. Tidak perlu kos sewa atau beli tapak dan tidak perlu waktu perniagaan yang terhad, ianya dijalankan 24jam.

Bagi yang berminat mahu belajar bagaimana mahu jana wang dari rumah melalui blog dan media sosial, boleh hubungi saya. Saya akan tunjukkan beberapa pakej yang bersesuaian. Sekian untuk kali ini, Assalamualaikum.

Khadijah binti Maskam
Pengurus Online
Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR)
Tel : 010-5398798 (sms/WhatsApp)
Email : khadijahmaskam@gmail.com
Kedai Online : KOLEKSI FESYEN JAJA