Tuesday 23 December 2014

CABARAN EKONOMI 2015, BERSEDIAKAH ANDA

Bismillahirrahmanirrahim.

Merenung ke luar jendela, cewah. Sekarang musim hujan, sayunya hati teringat Zafeera di kampung. Sayu lagi hati bila mengenangkan masa depan. Haha, bukan mengeluh dan tiada niat untuk merungut. Apapun jua halangan pasti ku tempuhi dengan penuh semangat.


Musim musim hujan ni digalakkan kita untuk banyakkan aktiviti di rumah. Elak untuk terlalu keluar kerana dikhuatiri demam. Tapi bagi kaum lelaki mahupun perempuan yang memikul tugas mencari nafkah, mampukah anda lebihkan masa di rumah dan had kan masa di luar? Siapa pula yang mahu cari pendapatan untuk keluarga? Hehe...

Cabaran untuk tahun 2015 kian terasa kerana hanya tinggal kurang 2 minggu lagi sebelum kita memasuki tahun 2015. Antara cabarannya adalah GST ataupun nama penuhnya Goods & Services Tax. Seperti yang pihak kerajaan war-war kan di media massa, bukan semua barang dan perkhidmatan akan dikenakan GST.

Persoalannya, mampukah barang-barang serta perkhidmatan yang dikecualikan GST ini mengekalkan harga yang sama untuk bulan hadapan? 2 bulan lagi? 3 bulan lagi? Kami rakyat marhaen merayu pada pucuk pimpinan agar bersikap relevan pada kami. Gaji kami di takuk lama untuk bertahun lamanya, jika ada kenaikan pun tidak setara penjawat awam barangkali. Kami kerja lebih masa, lebih 12 jam untuk pastikan perut anak-anak kami terisi. Dalam pada waktu itu, harga tepung dan gula sudah berapa kali meningkat akibat kekurangan subsidi katanya.

Walaupun pahit, tetap kami telan jua kerana apalah sangat suara kami ini. Mungkin pak-pak menteri tidak melalui kesusahan kami mengisi petrol ke tangki motor kereta setiap hari, membayar tol ke tempat kerja kerana pak-pak menteri semua ada elaun dan kad petrol masing-masing. Setiap langkah kaki kami, nilai RM mengalir keluar sederas air banjir di pantai timur kini.

Tiada lagi nilai 50sen di dalam dompet itu. Jangan kata 50sen, RM50 juga hanya mampu dipegang sehari, untung kalau cukup sehari. Susu anak 1 tin bersamaan 800gm sahaja sudah RM42.90 dan hanya bertahan untuk satu minggu. Masih ada baki RM7.10. Itulah duit makan, duit petrol, duit sakit pening dan lain-lain lagi.

Pandai pak-pak menteri cakap untuk berjimat, kami memang sudah lama berjimat, kurangkan dan lupuskan segala perbelanjaan yang kurang perlu, duit hiburan bersama keluarga kami kurangkan, banyakkan aktiviti di rumah, makan ulam-ulam untuk jaga kesihatan hatta sardin yang dulunya makanan mampu milik pun telah diklasifikasi sebagai makanan ekspress yang mahal, dan kami potong senarai sardin dalam senarai barang dapur kami. Kami ganti sumber protein kami dengan pergi memancing di hujung minggu.

Tidak cukup lagi, pergi memancing di tasik-tasik pinggiran kota yang mana ikannya berpuluh ribu ekor di dalam pun kena saman. Hai la nasib....Andai luahan hati ini mampu menusuk sanubari sang pemimpin, alangkah bahagianya aku. Kami bermatian menyahut seruan kamu untuk berjimat dan mencari peluang untuk menambah pendapatan sampingan.

Ini suara kami yang bekerja atau ada pendapatan bulanan. Bayangkan bagi mereka yang kerja kampung, menoreh getah, musim-musim hujan begini bagaimana mahu keluar menoreh kalau batang getah basah? Ada yang masih gigih, batang getah di lap dengan kain, kemudian baru ditoreh. Berhujan dalam hening subuh tatkala jam pukul 3 pagi, 2 pagi.  

Dimana pak-pak menteri ketika itu? Enak dibuai mimpi diselimuti comforter tebal, hangat suasana, indah belaka mimpi yang datang. Jauhnya perbezaan kasta itu kan? Kami bukan merungut, kami redha dengan ketentuan dan perancangan Allah, cuma kami mohon tolong jangan buat sesuatu tanpa fikir masih ada insan yang kurang bernasib baik dari anda.

Doa kami, moga kami terus kuat melangkah ke hadapan walau apa jua cabaran mendatang kerana kami yakin dan pasti dengan janji Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa ada dengan orang-orang yang sabar. Rezeki kami di tangan Allah, bukan di tangan pemimpin yang alpa. Semoga Allah sentiasa melindungi insan-insan yang gigih berjuang demi dunia dan akhirat. InsyaAllah.

Sekian dulu untuk kali ini. Buat sahabat-sahabat di kawasan banjir, semoga tabah dan cekal mengharungi ujian Allah dan jagalah keselamatan diri dan keluarga. Moga ada sinar dan pelangi menanti di hadapan. Bagi yang mahu belajar dan jadi sebahagian warga ABDR boleh hubungi saya untuk keterangan lanjut. Assalamualaikum.


Khadijah binti Maskam
Pengurus Online
Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR)
Tel : 010-5398798 (sms/WhatsApp)
Email : khadijahmaskam@gmail.com
Kedai Online : KOLEKSI FESYEN JAJA




No comments:

Post a Comment