Wednesday 24 September 2014

TALIAN NUR 15999





Teks : Khadijah Maskam

Bismillahirrahmanirrahim. 
Alhamdulillah, akhirnya dapat juga saya update blog untuk hari ini. Bukan apa, komitmen pada kerja membataskan waktu saya untuk mengemaskini post di blog. Selain itu, antara sebab saya agak sibuk kebelakangan ini adalah kerana tanggungjawab sosial terhadap masyarakat dan kawan-kawan. Haha, bunyi kedengaran seperti saya seorang ADUN. Realitinya, tidak perlu tunggu kita bergelar seorang YB untuk kita laksanakan tanggungjawab sosial, sebagai orang awam yang hidupnya bermasyarakat, ada jiran tetangga, sahabat handai, kita perlu memikul tanggungjawab itu.

Berbalik semula kepada tajuk, dalam masa seminggu dua ini, saya kerap kali menerima mesej meminta bantuan dari segi kewangan. Ketiga-tiga mereka terdiri dari kaum wanita yang telah berumah tangga, mempunyai anak kecil. Masalah mereka adalah sewa rumah tertunggak, bil-bil tertunggak, ansuran kereta dan pelbagai macam lagi yang tertunggak. Kesannya, anak-anak tidak cukup keperluan seperti susu, makanan dan pakaian. 

Kes Puan A :
Umur : 20 tahun
Status : Berkahwin
Anak : Seorang (7 bulan)
Pekerjaan : Tidak bekerja
Suami : Masih belajar
Masalah :
a) Tidak mempunyai wang untuk membeli keperluan anak.
b) Suami tidak mampu menyara hidup isteri dan anak. Suami juga tinggal dengan keluarganya di Perak bukan tinggal bersama isteri dan anak.
c) Puan A tinggal di rumah ibu dan ayahnya yang mana adik beradiknya adalah seramai 13 orang. Mereka mengharap bantuan jiran tetangga untuk keperluan asas di dapur.

Kes Puan B :
Umur : Tidak dikenalpasti
Status : Berkahwin
Anak : 3 orang
Pekerjaan : Tidak dikenalpasti
Suami : Tidak bekerja
Masalah :
a) Bil-bil tertunggak
b) Sewa rumah tertunggak
c) Anak hanya minum air didih sejak seminggu lalu kerana Puan B tidak mampu lagi membeli susu.
d) Mahu pinjam RM 3,000 untuk melangsaikan segala hutang yang tertunggak.

Kes Puan C :
Umur : 35 tahun
Status : Berkahwin
Anak : 6 orang
Pekerjaan : Pengusaha kantin kilang
Suami : Tidak bekerja
Masalah :
a) Ditindas oleh suami yang curang. Dipergunakan oleh suami yang tidak bekerja sebagai lubuk duit. Anak-anak agak terbiar dan kurang kasih sayang dan perhatian. Bisnes di kantin juga semakin merundum kerana duit pusingan modal kerap kali di ambil oleh si suami untuk berpoya-poya.
b) Menanggung hutang yang banyak (ansuran kereta, syarikat pinjaman wang berlesen, pembekal,dll)

Akibat salah percaturan hidup, ramai yang jadi mangsa dan yang paling menyedihkan adalah anak-anak. Kasihan melihat anak-anak yang masih kecil terpaksa melalui zaman susah, menahan lapar dahaga akibat perbuatan ibu bapa. Tapi saya percaya, semua wanita diluar sana tidak pernah mengimpikan hidup sebegini, tidak pernah mengimpikan untuk bersuamikan orang yang tidak bertanggungjawab cuma Allah telah takdirkan untuk mereka diuji sebegini maka jalan hidup mereka agak susah berbanding orang lain.

Islam menyuruh kita sabar, tetapi Islam juga menyuruh kita berusaha. Sabar sahaja tidak cukup. Perlu ada usaha untuk mencari jalan penyelesaian untuk setiap masalah. Seterusnya adalah sokongan dari pihak sekeliling seperti keluarga, rakan-rakan dan masyarakat.

Bagi mereka yang mempunyai masalah seperti Puan A, B dan C di atas, saya nasihatkan untuk segera hubungi talian NUR di talian 15999. Ceritakan masalah anda secara terus terang dan minta nasihat dari mereka. InsyaAllah, pasti akan ada jalan keluar dari setiap kemaslahatan itu.

Mereka yang menghubungi dan berjumpa saya rata-rata mahu meminta bantuan dari segi kewangan tapi saya tegaskan saya juga bukan orang senang. Saya cuma boleh bantu dalam bentuk barang seperti barang keperluan anak seperti susu dan lampin pakai buang. Saya juga boleh bantu dari segi nasihat dan juga menjadi pendengar setia. Itu sahaja yang mampu saya bantu. Oleh kerana itu, saya cadangkan mereka untuk berhubung terus ke Talian NUR. Mereka akan beri bantuan yang sewajarnya. 

Selain dari menghubungi talian nur, anda juga boleh membuat aduan dengan menghantar mesej peribadi (Private Message:PM) di Facebook Talian NUR, email (taliannur@kpwkm.gov.my), SMS (taip TALIANNUR>jarak<ADUAN>jarak<pertanyaan anda> dan hantar ke 15888 atau melalui WebChat melalui laman sesawang kementerian (http://www.kpwkm.gov.my/social-media). Mereka sedia membantu.



Selalunya ada mangsa yang tidak tahu mengenai kewujudan Talian NUR ini ataupun mereka tidak tahu bagaimana cara untuk meminta bantuan. Oleh itu, saya nasihatkan agar orang awam dan masyarakat tolong jangan pandang mudah pada perkara sebegini. Ia adalah kewajipan kita semua untuk membantu. Jika tidak mampu membantu dari segi kewangan, maka inilah cara untuk kita bantu mereka. Selamat menunaikan tanggungjawab sesama insan! Sekian, Assalamualaikum.



No comments:

Post a Comment