Monday 22 September 2014

PENGENALAN


Teks : Khadijah binti Maskam




Bismillahirrahmanirrahim.
Nama saya Khadijah binti Maskam. Saya berasal dari Kg. Simpang Pelangai, Bentong Pahang. Saya merupakan anak ketiga dari tujuh orang adik beradik. Kini saya menetap di Nilai, Negeri Sembilan dan masih bekerja sebagai Pembantu Pengeluaran di sebuah syarikat swasta di sini. 

Saya mendapat pendidikan awal di SK Simpang Pelangai dan seterusnya melanjutkan pelajaran di peringkat menengah di SMK(A) Pahang, Muadzam Shah. Tamat tingkatan 3, dek kerana takutkan Bahasa Arab, saya mengambil keputusan untuk bertukar ke aliran teknikal. Saya menyambung persekolahan di SM Teknik Tuanku Ja'afar, Seremban. Kemudian saya menyambung pengajian ke peringkat Diploma dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal.

Arwah ayah adalah seorang guru manakala emak adalah surirumah tangga sepenuh masa. Sifat tegas arwah ayah di sekolah turut sama dipraktikkan di rumah. Jadi, kami adik beradik telah biasa dengan pelbagai peraturan yang ditetapkan oleh arwah ayah demi menjadikan kami adik beradik bukan sahaja insan yang berguna, malah kuat dan teguh dalam menghadapi dugaan dan cabaran dalam kehidupan realiti.

Alhamdulillah, berkat didikan dan asuhan dari kedua orang tua, saya boleh dikatakan berjaya menempuhi segala rintangan dan dugaan hidup yang penuh onak dan duri ini dengan penuh semangat. Saya telah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang puteri bernama Zafeera. Zafeera adalah sumber kekuatan saya kerana sejak lahirnya beliau ke dunia, saya mendapat kekuatan untuk bangkit dari segala kemelut hidup yang membelenggu saya sejak beberapa tahun yang lalu.

Demi Zafeera juga, saya menguatkan semangat untuk berusaha mencari dan belajar mengenai peluang-peluang yang dapat menjana pendapatan saya seterusnya saya dapat menjalankan perniagaan dari rumah. 

Matlamat utama saya adalah untuk mendidik, membesarkan dan melihat puteri saya membesar di hadapan mata saya sendiri. Dalam keadaan sekarang, untuk mencari pengasuh yang benar-benar ikhlas amat sukar ditemui dan saya tidak berani untuk memperjudikan nasib satu-satunya anugerah terindah dalam hidup saya.

Oleh itu, saya amat berharap dapat menamatkan sesi pembelajaran di ABDR dengan jayanya sebelum saya meletakkan jawatan secara rasmi dan pulang ke kampung halaman untuk bersama dengan puteri tercinta. Harapan saya semoga mentor saya Pn. Anys Idayu serta rakan-rakan di ABDR dapat memberikan saya tunjuk ajar dan dorongan agar saya dapat merealisasikan impian saya untuk menjadi salah seorang WAHM suatu hari nanti.

No comments:

Post a Comment