Wednesday 12 November 2014

REZEKI DARI ALLAH

Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah kerana masih diberi kesempatan untuk bernafas di muka bumi milik Allah ini. Bercerita mengenai rezeki seringkali kita tersilap mengenai definisi rezeki. Ramai yang berfahaman konsep rezeki hanya merangkumi dari aspek kewangan. Saban hari berdoa memohon dari Allah "Murahkan rezeki kami Ya Allah" dan apabila masih terasa kesempitan wang, ada yang berputus asa kerana seolah-olah Allah tidak memakbulkan doanya. Jangan bersedih wahai sahabat, kerana sebenarnya rezeki Allah itu amat luas dan bukanlah tertumpu pada kewangan sahaja. Tahukah anda bahawa kesihatan itu adalah sebahagian dari rezeki, anak yang soleh dan solehah itu juga rezeki, kebahagiaan itu juga rezeki, berlapang dada itu rezeki peluang untuk menghirup udara segar itu juga adalah rezeki. Pendek kata apa jua yang memberi manfaat kepada kita adalah rezeki. Janganlah kalian berhenti berharap dengan Allah dan sentiasa bersangka baik denganNya.



Allah mungkin tidak beri apa yang kita mahu, tetapi harus sentiasa ingat bahawa Allah akan beri apa yang kita perlu. Sama dengan konsep harian dalam berbelanja, beli apa yang perlu jangan beli apa yang kita mahu, maka perbelanjaan itu akan jadi berhemah. Mintalah pada Allah, hanya pada Allah kerana pergantungan dengan Allah adalah yang terbaik. Namun, pernah atau tidak terlintas di hati kita sebagai insan biasa ini, "Aku dah puas berdoa tapi Allah belum bagi apa yang aku minta, walhal aku minta perkara yang baik-baik sahaja...". Wahai sahabat Allah akan perkenankan doa kita, bezanya adalah cepat atau lambat kerana Allah mahu lihat sejauh mana iman kita terhadapNya dan sejauh mana sabarnya kita mengharap pertolonganNya. 


Tahukah sahabatku apa yang menghalang doa dari dimakbulkan? Jawapannya adalah dosa masa lalu kita. Dosa semalam. Kita hanya insan biasa yang tidak terlepas dari melakukan dosa kerana kita bukan maksum. Ada yang berkata, "Eh, saya tak pernah pun buat salah, tak pernah sakitkan hati orang...". Jangan terlalu yakin wahai sahabat, kerana hati kita juga melakukan dosa, dengki dengan kelebihan orang lain, cukup terdetik dalam hati pun sudah dikira berdosa. Tidak perlu dizahirkan. Tapi Allah maha pengampun. Sebab itu kita disuruh banyak beristighfar dan bertaubat kerana siapalah kita di hadapan Allah, tidak pernah lepas dari melakukan dosa.

Firman Allah menceritakan nasihat Nabi Nuh a.s. kepada kaumnya: (maksudnya)

“Sehingga aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (sekiranya kamu berbuat demikian) Dia akan menghantarkan langit yang mencurah-curah (hujan) kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; Dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai” (Surah Nuh: 9-12).

Selagi pintu taubat masih terbuka, jangan pernah berhenti memohon pengampunan dari Allah. Masih ada masa. Hati yang bersih dan jiwa yang tenang, sedikit demi sedikit kita akan merasai perubahan dan mulai merasai nikmat yang selama ini mungkin kita tidak rasakan. Setiap orang berbeza, rezeki masing-masing. Berbaik sangka dengan Allah, mohon hanya dengan Allah, Istighfar dan taubat, InsyaAllah kita berada di landasan yang betul menuju pengakhiran yang indah.

Rezeki kurniaan Allah jangan lupa untuk diinfakkan kerana sebahagian dari rezeki yang kita terima bukan semua untuk kita, sebahagiannya untuk orang lain. Belajar untuk bersedekah, usah tunggu kelebihan rezeki, belajar untuk memberi walau sedikit kerana dengan sedikit pemberian itu Allah akan ganti dengan yang lebih baik. Yang penting adalah IKHLAS. 

Sehingga di sini dahulu. Peringatan ini adalah untuk diri saya sendiri juga buat sahabat-sahabat di luar sana kerana di akhirat kelak saya berimpian untuk memasuki syurga bersama keluarga dan sahabat-sahabat tercinta. Pengakhiran yang indah dan abadi untuk kita semua, InsyaAllah. Assalamualaikum.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan di 010-5398798 (sms/whatsApp). Mahu jadi Pengurus Online macam saya? Mahu belajar asas bina blog? Mahu belajar bagaimana mahu jana wang dari rumah? Mahu, mahu, mahu dan mahu. Boleh ajukan pertanyaan anda, saya sedia membantu.


Khadijah binti Maskam
Pengurus Online
Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR)
Tel : 010-5398798 (sms/WhatsApp)
Email : khadijahmaskam@gmail.com
Kedai Online : KOLEKSI FESYEN JAJA

No comments:

Post a Comment