Tuesday 11 November 2014

KEMBALI MENUJU JALANNYA

Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah, segala puji untukMu Ya Allah kerana aku masih diberi peluang untuk bernafas di muka bumi ini. Diberi peluang untuk meminta dan memohon segala kebaikan dan kesejahteraan dariMu. Alangkah indah bila pergantungan kita hanya dengan Allah, tiada yang lain. Sesungguhnya kita harus sentiasa bersangka baik dengan Allah.


Bukan mudah untuk terus berjalan di landasan yang benar kerana di sekeliling, kiri dan kanan bahkan depan dan belakang kita sentiasa dibelenggu syaitan dan nafsu yang tidak pernah jemu memainkan peranan menyesatkan manusia. Cabaran dunia masa kini, tanpa kehadiran Rasulullah S.A.W, kita hanya berpandukan Al-Quran & Sunnah dalam mencari redha ilahi. Oleh kerana itu, kecintaan Nabi S.A.W terhadap manusia akhir zaman amat tinggi kerana kita mampu berselawat keatasnya dan menjadikan baginda ikon serta mengamalkan sunnahnya tanpa melihat wajahnya.

Diri ini masih tercari cari diri sendiri, masih berusaha untuk membersihkan hati yang sudah lama berkarat dek dosa-dosa lalu. Sesungguhnya diri ini lalai dan hanyut dalam permainan dunia yang penuh dengan onak dan duri. Alhamdulillah, hati ini masih terbit rasa sesal, masih ada rasa takut pada murka Allah, kerana tatkala hati tidak mempunyai apa rasa takut ketika melakukan dosa, waspadalah kerana sesungguhnya hati kita terlalu hitam hingga amat susah dijejak oleh hidayah Allah.

Alhamdulillah atas segala ujian yang Allah berikan pada diri ini, kerana jika tidak mana mungkin terbit di hati ini untuk bertaubat dan kembali ke jalan Allah. Jika tidak, mungkin juga diri ini masih hanyut dalam syurga dunia yang tidak menjanjikan apa-apa. Diri ini sedang belajar menerima qada' dan qadar ketentuan Allah, belajar bahawa pergantungan hidup itu hanya dengan Allah, belajar berusaha, berdoa dan bertawakal sepenuhnya dengan Allah dan belajar untuk bersangka baik dengan Allah. InsyaAllah, berkat doa mak, keluarga dan sahabat, diri ini pasti mampu bertemu dengan pengakhiran yang indah.


Ada sahabat yang bertanya, mana hilangnya kamu? Dah lama tidak dengar berita. Diri ini masih ada, cuma lebih selesa jadi pemerhati dan masih mengikuti perkembangan sahabat-sahabat lain. Masa seperti tidak cukup sejak akhir-akhir  ini. Adakah sudah tiba masa untukku? Bukan mahu melawan ajal, tetapi aku bermohon padaMu Ya Allah, beri aku peluang untuk membesarkan dan mendidik satu-satunya cahaya mataku menjadi seorang yang solehah dan membahagiakan hati kedua orang tuanya, beri aku peluang untuk berbakti pada ibuku serta adik-adikku terlebih dahulu. Sesungguhnya aku sudah banyak dalam kerugian. Oleh itu, aku mohon agar diberi kemudahan dalam setiap urusanku, murahkan rezekiku dan istiqamahkan aku dalam mencari redhaMu, Amin.



No comments:

Post a Comment